PENUTUP
Dari ayat-ayat suci Al-Qur'anul-Karim, dari Hadits-hadits
Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh para sahabat beliau, dan dari pendapat
para Imamul-Mujtahidin serta para ulama; yang telah kami paparkan dalam buku
ini, semuanya merupakan dalil-dalil syar'iy yang mendasar dan kuat tentang
kewajipan setiap orang beriman mencintai dan menghormati ahlulbait Rasulullah
s.a.w. beserta semua keturunan mereka, semata-mata demi kerana Allah dan
Rasul-Nya.
Dari semua uraian yang terdapat di dalam buku ini pembaca
dapat memperoleh pokok-pokok pengertian yang melandasi kewajipan mencintai dan
menghormati ahlulbait Rasulullah s.a.w. dan keturunannya. Pokok-pokok pengertian
itu ringkasnya sebagai berikut:
- Rasulullah s.a.w. dan ahlulbaitnya berhak
memperoleh ketaatan dan penghormatan dari ummatnya.
- Rasulullah s.a.w. adalah pangkal kemuliaan dan
kesucian ahlulbaitnya.
- Beliau adalah wali bagi semua ahlulbait dan
keturunannya.
- Beliau s.a.w. adalah ayah (sesepuh) mereka.
- Ummat Islam wajib mendahulukan mereka.
- Ummat Islam harus mahu menimba ilmu dari
mereka.
- Apa yang membuat mereka tidak senang, membuat
Rasulullah tidak senang.
- Apa yang melegakan mereka melegakan Rasulullah
s.a.w.
- Hubungan nasab mereka dengan beliau s.a.w.
tidak terputus pada hari kiamat.
- Hubungan mereka dengan Rasulullah s.a.w.
sebagai wasilah tidak terputus pada hari kiamat.
- Hubungan kekerabatan dan kefamilian
(mushaharah) antara mereka dengan Rasulullah s.a.w. tidak terputus
pada hari kiamat.
- Iman belum benar-benar masuk ke dalam hati
seseorang hamba Allah sebelum ia mencintai ahlulbait demi kerana
Allah dan kerana kekerabatan mereka dengan Rasulullah s.a.w.
- Barangsiapa yang menghormati dan berbuat baik
terhadap mereka, pada hari kiamat kelak ia akan memperoleh balasan
baik dari Rasulullah s.a.w.
- Setiap orang beriman wajib mencintai mereka
atas dasar kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w.
- Orang terbaik di kalangan ummat Islam ialah
yang paling besar kecintaan dan penghormatannya kepada ahlulbait
Rasulullah s.a.w.
- Seseorang di kalangan ummat Islam tidak akan
memperoleh kebajikan di dunia dan di akhirat, kecuali jika ia
mencintai mereka demi kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya.
- Seyogyanya orang lebih menyukai hubungan
persaudaraan dengan mereka daripada hubungan persaudaraannya dengan
kaum kerabatnya sendiri.
- Setiap Muslim wajib menyedari bahwa ahlulbait
Rasulullah s.a.w. mempunyai hak yang amat besar atas dirinya.
- Setiap Muslim wajib menghormati dan menjaga
keselamatan mereka.
- Barangsiapa mengganggu mereka bererti
mengganggu Rasulullah s.a.w., dan orang yang mengganggu beliau
s.a.w. bererti mengganggu Allah s.w.t.
- Seorang Mu'min belum benar-benar beriman
selagi ia belum mencintai Rasulullah s.a.w., dan ia belum mencintai
Rasulullah s.a.w. selama belum mencintai ahlulbait beliau.
- Mereka senantiasa bersama-sama dengan
Al-Qur'an hingga saat mereka masuk syurga.
- Orang yang memperoleh hidayat Ilahi ialah
yang berpegang teguh pada Al-Qur'an dan ahlulbait Rasulullah s.a.w.
- Orang yang tidak berpegang pada Al-Qur'an dan
ahlulbait Rasulullah s.a.w. adalah sesat.
- Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita
akan kewajipan kita terhadap Allah s.w.t. mengenai keharusan kita
mencintai ahlulbait beliau s.a.w. dan mengenai keharusan kita
menghormati mereka. Rasulullah s.a.w. mengaitkan kehormatan mereka
dengan kehormatan beliau sendiri dan kehormatan agama Islam.
- Barangsiapa mengindahkan kehormatan
Rasulullah s.a.w. dan ahlulbaitnya, Allah s.w.t. akan memelihara
keselamatan agama dan keduniaannya.
- Barangsiapa yang tidak mengindahkan
kehormatan Rasulullah s.a.w. dan kehormatan ahlulbait beliau, Allah
s.w.t. tidak akan memelihara keselamatan agama dan keduniaannya.
- Rasulullah s.a.w. telah mewasiatkan kepada
kita supaya kita menyampaikan segala hal yang baik kepada ahlulbait
beliau.
- Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat akan
menggugat setiap orang yang mengurangi hak ahlulbait beliau, dan
barangsiapa yang pada hari kiamat akan digugat oleh beliau s.a.w. ia
akan masuk neraka.
- Ahlulbait Rasulullah s.a.w. adalah hablullah
(tali Allah) yang kita diperintah supaya teguh berpegang padanya,
sebagaimana firman Allah: "Hendaklah kalian semuanya berpegang teguh
pada tali Allah". (S. Aali Imran: 103).
- Kita harus mengerti, bahwa ahlulbait
Rasulullah s.a.w. adalah orang-orang yang menjadi sasaran irihati
kerana mereka memperoleh limpahan kurnia Allah s.w.t.
- Seorang hamba Allah belum benar-benar beriman
selagi kecintaannya kepada ahlulbait Rasulullah s.a.w. belum
melebihi kecintaannya kepada dirinya sendiri dan keluarganya.
- Persahabatan setia dengan ahlulbait adalah
hidayat yang dinyatakan Allah dalam firman-Nya: "Aku adalah Maha
Pengampun bagi siapa yang bertaubat, beriman dan berbuat kebajikan".
(S. Thaa Haa: 82).
- Allah s.w.t. sangat murka terhadap orang yang
mengganggu ahlulbait Rasulullah s.a.w.
- Barangsiapa mencintai dan menghormati mereka,
Allah akan memanjangkan usianya dan melestarikan kurnia nikmat yang
dilimpahkan kepadanya.
- Barangsiapa yang membenci dan menghina
mereka, Allah akan memendekkan usianya dan akan mencabut nikmat yang
diberikan kepadanya, dan pada hari kiamat ia akan dibangkitkan dalam
keadaan bermuka hitam.
- Manusia akan selalu mengikuti mereka dalam
kebajikan mahupun dalam keburukan. Dengan kebaikan mereka manusia
akan menjadi baik dan dengan kerosakan mereka manusia akan menjadi
rosak.
Mengingat kesemuanya itu, sebagai penutup tulisan kami dalam
buku ini, kami berseru agar kaum Muslimin tidak enggan membantu kesukaran para
keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w., mahu belajar kepada mereka yang berilmu
dan mengajar mereka yang kurang mendalam ilmunya. Kebaikan dan kesentosaan kaum
Muslimin banyak kaitannya dengan kebaikan dan kesentosaan mereka. Mereka adalah
bahtera keselamatan bagi kaum Muslimin, tak ubahnya dengan bintang-bintang di
langit yang menjadi petunjuk jalan dalam perjalanan gelap di tengah samudera.
Beruntunglah orang-orang yang memelihara hubungan baik dengan
ahlulbait, kaum kerabat Rasulullah s.a.w. dan keturunan mereka. Bahagialah
orang-orang yang dengan syafaat Rasulullah s.a.w. akan memperoleh kebahagiaan
hidup kekal di akhirat. Alangkah nikmatnya orang-orang yang dengan keridhoan
Allah dan Rasul-Nya memperoleh kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Allaahumma shalli 'alaa sayyidinaa Muhammad wa 'alaa aali
sayyidina Muhammad, wa sallim wardha 'an shahabat Rasullillahi ajma'in.
Amiin.
16 Rajab 1406
27 Maret 1986